Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, May 24, 2012

Soal-Jawab Bersama Ustaz Azhar Idrus Dibukukan



























Judul : Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Semasa
Penulis : Ustaz Azhar Idrus
Susunan : Ahmad Badrul Hisam A. Razak 
Terbitan : PTS Islamika
Tahun Terbitan: Oktober 2011
Halaman : 180
ISBN : 978-967-366-102-2
Genre : Islam | Ad-Din | Soal-Jawab | Fiqah | Syariat



-------------------------------------------------------------------------
 Orang yang selalu ditipu adalah orang muda 
yang menyangka bahawa kematian itu 
berlaku hanya pada orang tua.
- Ustaz Azhar Idrus
-------------------------------------------------------------------------


Azhar Idrus, satu nama yang tidak asing di kalangan masyarakat kita. Beliau ialah guru, daie, ustaz dan ulama. Beliau ialah mu'allim kepada muta'allim.  Penyampaiannya sentiasa dekat di hati di khalayak ramai. Barangkali media utama seperti tv, radio, surat khabar arus perdana mungkin 'tidak mesra' dengan beliau, namun sinonim dengan media baru melalui internet, you tube, facebook, blog dan twitter,  ia mampu menyerlahkan nama beliau sehingga ke persada masyarakat bandar dan desa. Fenomena beliau di media maya menyebabkan beliau turut mendapat gelaran 'Ustaz You Tube'.  Bergerak dari ceramah masjid, surau, pentas ceramah, padang awam sehingga memenuhi undangan institusi, ustaz azhar tanpa payah dan jemu mengajar kepada mereka yang dahaga ilmu.

Kehebatannya mendepani persoalan isu semasa, muamalat, hukum, kekeluargaan sehingga bab-bab rahsia atau sensitif yang biasanya orang segan hendak tanya menyebabkan beliau terus densiti dan relevan dengan ranjau kehidupan ummah masa kini.  Beliau dilihat santai, humor dan bersahaja sebaliknya apabila berbicara akan hukum,  ilmunya cukup mendalam  menyampaikan kebenaran. Atas sebab itu majlis ilmunya selalu mendapat tarikan. Sambutan ceramahnya sering penuh di masjid, dewan dan padang. Seorang kawan India saya pada 2 bulan lalu turut mengejutkan saya. Katanya dia merupakan peminat kepada Ustaz Azhar. Siri ceramahnya ditontoni melalui laman You Tube. Tambahnya lagi, apa yang dia suka penyampaiannya spontan, ringkas dan kekadang sampai membuat orang ketawa. Dari situ dia secara tidak langsung dapat memahami konsep Islam yang dianuti majoriti di negara ini.

Ustaz Azhar Idrus
Kredit Gambar: Facebook Ustaz Azhar Idrus


Kuliyah Perdana di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, 
Kota Bharu Kelantan (13/05/2012)
Kredit Gambar: Blog Ustaz Azhar Idrus


Ustaz yang berasal dari Terengganu cukup mesra dan mudah tersenyum apabila disapa. Beliau juga tidak kekok dalam menjayakan program ceramah bersama pemimpin agama, ahli politik dan celebriti. Gandingannya bersama celebriti Bob Lokman, Zizan, Sham Kamikaze, kumpulan XPDC menunjukkan keterbukaan beliau mengisi acara santai ilmiah disamping menawan hati anak muda dan remaja hari ini.

Buku ANDA BERTANYA USTAZ AZHAR IDRUS MENJAWAB BERKENAAN PERMASALAHAN SEMASA merupakan himpunan soal-jawab bersama Ustaz Azhar Idrus bersama dengan jemaah masjid, tetamu, penonton dan masyarakat Islam di negara ini. Buku yang disusun oleh saudara Ahmad Badrul Hisam A. Razak merupakan koleksi soal jawab yang diambil melalui siri-siri cermah Ustaz Azhar yang disalin dalam VCD dan laman web rasmi beliau. Buku ini diterbit PTS, Oktober 2011. Menurut sumber PTS, buku beliau begitu popular sehingga  terjual lebih 130 ribu unit dalam tempoh 6 bulan selepas terbit.

Buku ini dibahagikan kepada 12 bahagian dengan topik-topik berikut:

1 TAHARAH                                          
• Minyak Wangi Tanpa Alkohol
• Hukum Kencing Tidak Lawas
• Cara Mandi Wajib
• Membersihkan Karpet Masjid Yang Terkena Air Kencing
• Mandi Junub Atau Mandi Wajib
• Perbezaan Air Mani Dan Air Mazi
• Penggunaan Botol Arak
• Samak Jaket Kulit Khinzir
• Bawa Lori Najis
• Kasut Berkulit Babi
• Kemeja Sutera Campuran
• Samak Kereta Terkena Anjing
• Adab Masuk Tandas
• Kencing Berdiri
• Makanan Dimasuki Semut
• Membersihkan Barang Bundle
• Bangkai Dalam Air
• Veterinar Memegang Anjing
• Mentayamumkan Mayat
• Berkhitan Bagi Kanak-Kanak Perempuan

2 WUDUK                                             
• Berwuduk Dalam Keadaan Telanjang
• Berwuduk Dalam Keadaan Tangan Bersimen
• Ukuran Mata Kaki Dalam Wuduk
• Mandi Wajib Tanpa Wuduk

3 SOLAT                                               
• Azan Sebelum Masuk Waktu Solat
• Azan Subuh Dua Kali
• Perbezaan Waktu Solat
• Waktu Solat Di Negeri Orang
• Keliru Arah Kiblat Ketika Dalam Gua
• Tempat Niat Solat
• Bacaan Dalam Solat
• Sukar Melafazkan Bacaan-Bacaan Solat
• Memejamkan Mata Ketika Solat
• Bacaan Pengganti Basmalah
• Menggantikan Imam Yang Batal Solat
• Qada (Menggantikan) Solat
• Dua Jemaah Dalam Satu Masjid
• Menggerakkan Jari Semasa Tahiyat
• Solat Hormat Waktu Dalam Penerbangan
• Solat Bersama Anak Bawah Umur
• Membaca Doa Qunut
• Meletak Tangan Di Atas Paha Ketika Duduk Di Antara Dua Sujud
• Kerap Tertinggal Solat Subuh
• Bercakap Ketika Khutbah
• Kurang Faham Mengenai Solat Jamak dan Qasar
• Mendengar Khutbah Jumaat Sambil Mengambil Nota
• Solat Jumaat di Negara China
• Solat Zuhur Wanita Uzur pada Hari Jumaat
• Solat Sunat bagi Menampung Solat Fardu
• Niat Solat Tahajjud
• Bilangan Sujud Sajadah
• Solat Sunat Taubat
• Waktu Luput Solat Sunat Duha

4 PUASA                                               
• Korek Hidung Semasa Berpuasa
• Hukum Berkumur dengan Lesterine Pada Siang Bulan Puasa
• Masuk Air Sebab Sakit
• Ganti Puasa
• Mengeluarkan Air Mani dengan Sengaja Di Bulan Puasa
• Fidyah Solat dan Puasa untuk Ibu yang Meninggal Dunia
• Puasa di Bulan Rejab dan Syaban 47

5 ZAKAT                                               
• Kewajipan Zakat ke atas Remaja
• Orang Tua Menerima Zakat

6 HAJI DAN UMRAH                             
• Menunaikan Haji Dalam Keadaan Berhutang
• Mencium Hajarul Aswad Selepas Tawaf
• Upah Haji untuk Ibu

7 AURAT                                              
• Aurat Menantu
• Aurat di dalam Televisyen
• Melihat Aurat Lelaki
• Aurat di Laman Rumah
• Aurat Lelaki 60
• Aurat Di Hadapan Bukan Islam
• Hukum Buka Baju dan Memakai Seluar Pendek

8 JUAL BELI                                        
• Jual Beli Barang Lama
• Jual Beli Binatang
• Loan (pinjaman) Kereta
• Peraduan
• Ambil Barang Orang Bukan Islam
• Claim (Tuntutan Semula)
• Bersedekah Dengan Wang Haram

9 NIKAH DAN KAHWIN                        
• Hukum Suami Ambil Duit Isteri
• Tidak Mahu Berkahwin
• ‘Couple' (berpasangan)
• Ibu Bapa Memilih Pasangan Hidup Untuk Anaknya
• Isteri Solehah
• Ingin Tahu Jumlah Isteri Nabi
• Suka Kepada Perempuan
• Nikah Gantung
• Hukum Zina Sebelum Kahwin
• Kelahiran Anak dan Belah Mulut (Tahnik)
• Pahala Bagi Perempuan
• Ambik Anak Angkat
• Ingin Bayi Comel
• Pewaris Gugurkan Janin
• Hubungan Dengan Bekas Bapa Tiri
• Kehendak Isteri dan Kuliah Jumaat
• Jilat Kemaluan Isteri
• Oral Seks
• Berjimak Pada 1 Syawal
• Keliru Sentuh Air Mani
• Krisis Rumah Tangga
• Cerai Talak Tiga
• Hukum Suami Keluar Malam
• Berkahwin dengan Amanah Ibu
• Amanah Tidak Mencukur Rambut Anak

10 AL-QURAN                                      
• Membeli al-Quran
• Hukum Terkentut Sewaktu Membaca al-Quran
• Hukum Meletakkan al-Quran di Kepala
• Hafaz al-Quran
• Orang Kafir Memegang al-Quran
• Wanita yang Memotong Badannya Sendiri
• Gantung Ayat al-Quran
• Hukum Wanita Membaca al-Quran
• Mengubah Diri dengan al-Quran
• Hukum Membaca Ayat al-Quran di dalam Tandas

11 HALAL DAN HARAM                       
• Hukum Merokok
• Halal Ataupun Haram Sarang Burung
• Hukum Onani
• Meluruskan Rambut (Rebonding)
• Hukum Upah Sembahyang Jenazah
• Hukum Wanita Memakai Wangian
• Hukum Lelaki Memakai Cincin Suasa
• Hukum Bekerja di Kilang Percetakan Akhbar
• Hukum Memakai (braces) Gigi
• Mengeluarkan Fatwa
• Membuat Ukiran Khat
• Halal Atau Haram Makan Kucing
• Hukum Makan Keldai
• Hukum Bayar Wang Pinjaman Ceti
• Hukum Jual Lintah
• Bantal Bulu Angsa
• Hukum Memakai Tali Leher
• Bertanya Khabar dan Waalaikumsalam
• Lelaki Berinai?
• Kelebihan Buluh Perindu
• Hukum Bunuh Cicak
• Memakai Baju Berlogo Carlsberg
• Kubur Campuran Islam dan Kafir
• Hukum Mengunjungi Tempat Rekreasi Hiburan
• Hukum Pergi ke Rumah Kawan Perempuan Pada Hari Raya
• Menyimpan Bahan Lucah
• Hukum Membela Gecko
• Hukum Bekerja dengan Majikan Yang Fasik dan Kafir
• Video Seksaan Kubur
• Mendengar Ceramah Perempuan
• Hukum Bermesej (SMS)
• Hukum Berkongsi Bekas Minuman
• Hukum Pertandingan Ayam Serama dan Memancing
• Hukum Mengungkit
• Hukum Melawat Zoo
• Melanggar Sumpah
• Hukum Melihat Jenazah
• Akikah Orang Dewasa
• Status Syahid Pengebom Bali
• Menjawab Salam SMS
• Makna Jihad
• Nasihat Kakak
• Tali Pengikat Jenazah
• Boleh Percaya atau Tidak
• Ciri-Ciri Orang Fasik
• Wali Fasik
• Hukum Menggunakan Umpan Katak dan Anak Ikan
• Mencukur Bulu Roma
• Hukum Memakai Celak

12 ISU SEMASA                                   
• Hukum Memakai Sutera
• Salam Bukan Islam
• Terjumpa Barang Kemas
• Menggantung Gambar Sarjana Islam
• Fatwa Memakai Gelang Kesihatan
• ‘Insyaallah’ Itu Satu Janji
• Hidangan Arak di Hotel
• Pekerjaan Memasang CCTV (kamera litar tertutup)
• Mencuri di Pasar Raya
• Hijab Antara Pelajar Perempuan
• Hukum Beri Salam Ketika Sedang Makan
• Pemakaian Niqab (Purdah)
• Bawa Telefon Bimbit Perisian al-Quran
• Menggunakan Pinggan di Restoran
• Mengaji Atas Kubur
• Menghias Kubur
• Sedekah
• Bermain Snuker
• Hukum Mencium Tangan Semasa Bersalam
• Kesucian Masjid
• Pakai Topi (Cap)
• Hukum Menonton di Pawagam
• Pembuatan IVF( Bayi tabung uji)
• Memakai Gelang Kaki
• Mesin Pakaian Basuhan Automatik
• Adab Memakai Cincin
• Vaksin Daripada Binatang Haram
• Doktor Lelaki Menyambut Bayi
• Hukum Urut Zakar
• Majlis Makan Malam
• Menyimpan Janggut
• Perbezaan Sunni dan Syiah
• Mubahallah
• Lukisan Lucah
• Bermain Gitar
• Mengumpat Orang Bukan Islam
• Tuntutan Kerja Lebih Masa (Overtime)
• Meminta Restu
• Kematian: Mayat Budak
• Fitnah Kehidupan, Kematian dan Kubur
• Memakai Pakaian Dipinjam
• Pelajar Ponteng
• Pertandingan Futsal
• Golongan Syed dan Syarifah
• Minyak oh Minyak
• Membela Binatang Peliharaan
• Doa dan Nyanyian
• Mengampu Majikan
• Orang Bukan Islam Melafazkan Tasbih
• Wanita Terlanjur Keliru
• Hukum Rotan


Sebahagian Siri Ceramah Ustaz Azhar Idrus

Bahagian 1


Bahagian 2


Bahagian 3



Read more...

Wednesday, April 25, 2012

Membangunkan Masyarakat, Kerja yang Terpuji


If you want enjoy and be happy 
for a day, organize a party,

If you want enjoy and be happy 
for a week, go for a vacation,

If you want enjoy and be happy 
for a year, grow a graden,

If you want enjoy and be happy 
for a lifetime, develop human beings



Kalau saudara hendak seronok 
dan bahagia untuk sehari, adakan parti,

Kalau saudara hendak seronok 
dan bahagia untuk seminggu, pergilah bercuti,

Kalau saudara hendak seronok 
dan bahagia untuk setahun, berkebunlah,

Kalau saudara hendak seronok 
dan bahagia sepanjang hayat, majukan manusia


Ungkapan ini saya ambil tatkala terpandang sebuah buku di Perpustakaan UUM, Cerita-Cerita Motivasi Untuk Guru (Hamedah Wok Awang. 2004. Kuala lumpur: PTS). Ayat "If you want enjoy and be happy for a lifetime, develop human beings" cantik sekali pada susunan baris akhir. Ia menggambarkan bahawa tiada pekerjaan yang paling mulia selain membantu, mendidik, membangun dan memberi sumbangan kepada pembinaan masyarakat serta peradaban manusia.

Hari ini jika ada doktor berhasil mendapat penawar bagi mengubati penyakit, dia telah menyelamat nyawa manusia. Hari ini jika ada seorang pemimpin negara menaik taraf hidup rakyat, dia telah menjaga kebajikan warganya. Hari ini jika ada seorang perintis IT mencipta pelbagai teknologi dan inovasi, dia telah memudahkan orang ramai menikmati kemudahan dalam kehidupan seharian. Hari ini jika ada ulama yang terus-menerus mengajarkan agama, dia telah memandu umat ke jalan kebenaran. Hari ini jika ada ramai tokoh-tokoh dunia lahir dalam segenap bidang, ia bermula dari didikan insan bernama guru kerana merekalah yang mengajar ilmu, membangun insan, memajukan manusia.








Read more...

Tuesday, April 24, 2012

Gangguan Sistem Perpustakaan UUM


Ketika saya sampai di perpustakaan UUM, saya tidak dapat menggunakan sistem pemulangan buku seperti kelaziman. Hari ini (Selasa) sistem yang digunakan adalah sistem manual dan saya harus menunggu lebih sedikit untuk memulangkan buku-buku saya. Kawan saya, Ariz turut mengeluh apabila buku-buku yang dipulang sudah tamat tempohnya sukar dijejaki apabila sistem 'down', lebih-lebih lagi buku yang dpinjam agak banyak kali ini. Melalui sistem manual, kami perlu beratur di kaunter. Di kaunter, kami akan menulis nama, kad pengenalan, no. perolehan, no. telefon, tarikh dan tandatangan di atas sekeping kertas. Apabila saya datang semula ke kaunter untuk urusan peminjaman buku, saya perlu menulis nama, kad pengenalan, nama buku, no. perolehan, no. panggilan, tarikh dan tandatangan di atas sekeping kertas. Begitulah proses rutin yang dilakukan para pelajar lain untuk memulang dan meminjam buku dalam beberapa hari ini.

Sistem digital pinjaman dan pemulangan buku di perpustakaan UUM menggunakan konsep teknologi RFID. RFID ialah teknologi pintar yang mengenalpasti objek untuk mengesan, menyimpan dan memproses data objek. Ia merupakan penggunaan teknologi terkini seperti yang difasilitet di perpustakaan-perpustakaan IPTA Malaysia.  Sayangnya ia langsung sama sekali tidak boleh dimanfaatkan kerana sistem mengalami gangguan kerosakan sejak Rabu lepas.

Melalui sistem digital pinjaman buku perpustakaan UUM (layan diri/self check), para peminjam akan imbas kad matriks pada sistem dan masukkan kata laluan pada skrin sentuh. Kemudian peminjam akan meletakkan buku pada 'tray' untuk imbas buku yang dipinjam. (Pada buku ia telah dipasang tag RFID)  Apabila imbasan buku sudah berjaya, sistem akan mengeluarkan slip yang menerakan no. resit, nama peminjam, maklumat buku, tarikh, waktu dan tempoh peminjaman.

Manakala bagi sistem digital pemulangan buku perpustakaan UUM, peminjam akan imbas kad matriks dan pintu buku pada sistem akan terbuka, bersedia untuk 'menelan' buku oleh peminjam (book drop). Sistem akan tamat apabila pengguna menekan butang resit pada skrin sentuh sebagai tanda tiada buku lagi mahu dipulangkan. Jika ada buku terlebih masa dipulangkan, sistem akan mengesan dan mempamerkan denda yang dikenakan pada resit tersebut. Seterusnya peminjam akan membawa resit ke kaunter untuk menjelaskan jumlah bayaran denda yang dikenakan. Ini kerana bayaran denda yang belum dijelaskan akan menafikan (senarai hitam) para pembaca untuk meminjam buku-buku baru.

Pada pandangan saya, secanggih mana peranti atau teknologi yang diasosiasi dan direalisasikan, kelemahannya tetap wujud. Berlakunya gangguan atau kerosakan pada sistem, ia terus melumpuhkan perjalanan operasi perbukuan pinjam dan pulang seperti kes tadi.  Sistem ialah suatu proses dan kekangan tetap ada disebabkan persekitarannya. Seandainya sistem yang tersebut lambat diperbetulkan, ia  mencipta kerja-kerja tunggakan baru kepada staf-staf perpustakaan. Akibatnya staf-staf perpustakaan UUM terpaksa berkerja lebih untuk mengkod semula segala maklumat peminjam dan rekod-rekod buku dari manual ke dalam sistem apabila operasi sistem kembali pulih. Manakala para pelajar mungkin akan berkerenah untuk menulis, memaut beban buku dan beratur panjang menunggu di kaunter!



Read more...

Sunday, April 8, 2012

Sistem Giliran di Skrin Sentuh




Mengambil giliran di bank tidak semacam dulu di mana kita beratur memanjang mengikut kaunter.  Untuk cepat, kita beratur pada kaunter yang paling sedikit orang bagi mendapat perkhidmatannya. Ia seperti yang dipraktikkan kita sekarang di pasar raya di mana kita mencari baris-baris kosong bagi membuat pembayaran ke atas barangan kita.

Kemudian sistem giliran di bank diperbaiki. Para pelanggan akan beratur tetapi dalam satu had sempadan. Orang pertama pada had sempadan itu akan dilayan dahulu melalui kaunter mana yang kosong.  Jika kaunter yang lain kosong, orang kedua pula akan pergi ke kaunter yang kosong itu dan begitu orang ketiga, keempat dan seterusnya mengikut kaunter-kaunter kosong. Sistem giliran ini lebih adil, cumanya kekurangan yang ada ialah pelanggan tidak dapat duduk kerana terpaksa beratur.

Sistem giliran kemudian diperkemaskinikan. Ia menggunakan sistem nombor dan mesin nombor mula diperkenalkan di bank dan pusat-pusat perkhidmatan. Kaedah ini memerlukan pelanggan menekan nombor pada mesin tersebut dan slip nombor akan keluar menerakan nombor giliran kita. Apabila banyak servis yang disediakan oleh satu-satu bank tersebut, butang-butang mesin ditambah bilangannya mengikut kategori pekhidmatan yang disediakan. Para pelanggan akan dipanggil gilirannya melalui suara berkomputer atau tanda bunyi seperti tertera pada skrin pandangan di dinding bank. Sistem giliran mesin nombor banyak digunakan hari ini seperti di pejabat pos, TNB, kaunter pembayaran bil air dan pejabat-pejabat kerajaan. Dalam pengenalan sistem giliran bermesin, para pelanggan dapat duduk tanpa berdiri lama untuk beratur.

Hari ini sistem giliran diperhebatkan. Konsep skrin sentuh sudah mula menggantikan sistem giliran mesin. Dengan satu sentuhan sahaja, kita sudah mendaftar untuk mendapat giliran kita. Trend ini seiring hegemoni teknologi di arus perdana. Dari skrin sentuh kiosk maklumat di pejabat kerajaan sehinggalah skrin sentuh parking kenderaan, aplikasi skrin sentuh diperluaskan serata tempat. Konsep aplikasi skrin sentuh boleh dikatakan dirintis melalui  mesin ATM (Auto Teller Machine). Mesin ATM mempunyai skrin, antara muka, menu dan butang menu selain bahagian pengeluaran wang dan slip. Seperti mana mesin ATM mempunyai antara muka menu dan tempat pengeluaran slip, maka seperti mana skrin sentuh mempunyai antara muka menu dan tempat pengeluaran slip nombor. Bezanya cuma butang menu mesin digantikan skrin input yang mana pada skrinnya dikemaskinikan dengan sensor elektronik bagi membolehkan interaksi sentuhan jari dengan skrin dijanakan.

Bank EON (kini Bank Hong Leong) telah menggunakan sentuhan pada skrin. Dari sentuhan skrin, slip nombor dikeluarkan. Di Bank Islam, aplikasi sentuhan pada skrin mencetakkan nombor giliran. Bagi warga emas pula, mereka hanya memasukkan kad pengenalan pada sistem. Layanan yang cepat akan diberi kepada mereka yang berumur oleh perkhidmatan bank tersebut. Begitu juga konsep aplikasi skrin sentuh dilihat dominan dipraktikkan di syarikat-syarikat telekomunikasi.

Tatkala saya berurusan di takaful Etiqa, saya perlu mendaftar diri di sistem giliran skrin sentuh untuk mendapat giliran saya. Saya memasukkan kad pengenalan dan sistem akan membaca maklumat identiti saya. Skrin akan mempamerkan jenis menu pelanggan dan saya memilih urusan yang diingini. Seterusnya  nombor giliran saya dipamerkan pada skrin dan saya perlu mengingatinya. Kemudian saya mengeluarkan kad pengenalan dari sistem dan menunggu di ruang duduk. Pada skrin pandangan giliran di dinding, pelanggan boleh melihat nama dan nombor semasa mereka yang sedang berurusan di kaunter. Pada susunan jujukan giliran, pelanggan dapat mengetahui dia di bawah pelanggan siapa. Apabila masa giliran saya tiba, suatu nada dibunyikan dan  saya lihat abjad nama dan nombor kaunter saya sudah tertera di skrin pandangan. Rumusannya, tiada slip kertas dikeluarkan untuk giliran! Hatta tiada kertas-kertas penuh di meja kaunter. Kaunternya kemas, tersusun bersih. Takaful Etiqa telah mengorak langkah meminimakan penggunaan kertas (paperless).

Saya tidak pasti pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang di luar sana (baca: yang tidak terdedah dengan dunia IT)  mampu menggunakan khidmat skrin sentuh yang difasilitet di bank-bank atau pusat-pusat perkhidmatan. Sistem giliran di skrin sentuh sebenarnya suatu yang asas sebelum kita pergi jauh bagi penggunaan peranti PDA, telefon pintar, komputer tablet, GPS atau apa seumpama dengannya yang sedang berkembang dalam masyarakat kita. Skrin sentuh ialah hasil produk interaktif. Rogers, Sharp & Preece (2002) mentakrifkan  produk interaktif ialah mengenai semua kelas sistem yang interaktif, persekitaran, peralatan, aplikasi dan peranti.[1] 

Interaksi manusia dengan mesin memerlukan mesin itu mesra pengguna agar pengguna dapat menerima kemudahan dengan sebaiknya tanpa menyusahkan. Sekiranya mesin atau peranti itu menyukarkan pengguna, maka ia mempunyai desain yang rendah (poor design). Malah jika skrin sentuh mempunyai fungsi yang mengelirukan, peranan skrin sentuh sebagai peranti interaksi antara manusia dengan mesin telah sama sekali gagal dalam memenuhi penyampaian dan hubungan pengguna↔mesin walaupun harganya beratus-ratus ribu. 




1. Preece, J., Rogers, Y., & Sharp, H. 2002. Interaction design: Beyond human-computer interaction. New York: John Wiley & Sons, Inc.



Read more...

Friday, March 30, 2012

Mempopularkan Baucar Buku Saya di Popular


Saya mengambil masa hampir sejam setengah di kedai buku Popular, membelek dan membaca buku di rak. Kemudiannya, saya dapatkan buku-buku di bawah ini untuk dibawa pulang:

60 Tahun Ekonomi Pasaran Sosial (IKD)
Bukan Serapuh Daun Maple (Buku Prima)
Eksplorasi Tubuh Manusia #2 (Anjung Taipan)
Indahnya Perjalanan Hidup Fatimah Az-Zahra (Jasmin)
Jenayah (Alaf 21)
Latihan Lanjut, Year 4 Mathematics (Unik)
Lawak Kampus (Gempak Starz)
Malaysian Studies - Looking Back, Moving Forward (PSSM)
Steve Jobs - The Man Who Thought Different (Bloomsbury)
Ucaplah Alhamdulillah (Must Read)

Nilainya berjumlah RM183.30. Bagi buku berjudul Indahnya Perjalanan Hidup Fatimah Az-Zahra, saya hadiahkan kepada ibu saya; novel grafik Lawak Kampus kepada adik manakala Latihan Lanjut, Year 4 Mathematics, saya berikan kepada anak jiran saya, Ika untuk dia membuat latihan pelajarannya.  Kali ini pembelian buku-buku tersebut saya gunakan Baucar Buku. Jika di Popular, di samping menyerah baucar buku di kaunter, saudara masih boleh mendapat diskaun 10%  dengan syarat keahlian Popular dibuka.

Seandainya harga buku saudara melebihi dari nilai baucar, tambahan wang dari poket perlu disediakan bagi menyelesaikan nilai lebihan jumlah yang dinyatakan. Apabila harga buku yang dibeli tidak mencecah pada nilai baucar, biasanya pembantu jualan akan mencadangkan supaya kita membeli apa-apa saja barangan di kedainya supaya pelanggan tidak terus rugi. Ini kerana baucar tidak boleh ditukar dengan tunai.

Ketika di Popular, saya hanya menggunakan baucar RM150 saja. Manakala tambahan sebanyak RM33.30 saya selesaikan melalui wang saku saya. Apabila dikalkulasi  semula, diskaun buku saya perolehi  sebanyak RM18.30 dengan keahlian Popular saya.  Baki Baucar RM50 saya itu insya-Allah boleh dimanfaatkan pada lain waktu.

Sebenarnya, Baucar Buku yang sepatutnya tamat pada akhir Mac 2012 telah dipanjangkan oleh kerajaan sehinggakan akhir bulan April 2012. Sebagai nilai tambah, April depan pula bakal berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL '12) yang diadakan saban tahun. Jika berkesempatan, saudara juga masih berpeluang menggunakan Baucar Buku tersebut di pesta ilmu itu nanti.

Kesimpulannya, di sini saya mendapat empat keuntungan di Popular baru-baru ini:

  • Saya membeli buku-buku menggunakan Baucar Buku
  • Saya turut mendapat diskaun buku melalui keahlian Popular
  • Saya mendapat 1 keahlian baru percuma apabila Popular memberi keistimewaan pelanggan yang membeli bukunya mencapai RM150
  • Saya juga diberi 1 kupon diskaun 20% Popular untuk digunakan mana-mana rangkaian kedai buku Popular
Mungkin relatifnya saya sedikit rugi untuk tambahan wang saku saya RM33.30 apabila tidak menggunakan baki baucar RM50 itu,  namun dengan Baucar Buku tersebut, ia dapat membantu saya mendapatkan buku-buku ilmu yang diingini!







Read more...

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA